
Bismillah..
Assalamualaikum wbt
Saya terpanggil utk berkongsi artikel ini kepada pembaca sekalian, yg juga sentiasa bermain diminda saya. Walaupun blm berkahwin, tp persediaan menjadi seorang ayah perlu disiapkan dari sekarang. Saya hanya mengopi paste sahaja memandangkan masa utk menulis semakin terbatas. Kebetulan dalam email list saya ada artikel ini, maka sy berkongsi dgn para pembaca sekalian, semoga dapat dimanfaatkan......
"Anak saya degil tak mahu dengar cakap saya"! "Anak  saya malas tak mahu belajar, kalau saya berleter baru dia buka buku.  Kalau periksa selalu dapat nombor corot!"
"Anak saya kalau saya marah, angkat kaki dan keluar dari rumah!"  "Anak saya lebih suka lepak dengan kawan-kawan dia, ada kala sampai tak  balik rumah!"
"Anak saya malas solat, kalau suruh baru dia buat!"
Ini ialah antara keluhan yang sudah lazim sampai ke cuping telinga  Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, perunding motivasi, juga Pengarah  Urusan MAP Training & Consultancy Sdn Bhd.
"Anak-anak  sebenarnya bukan tak mahu dengar nasihat atau cakap emak bapak. Paling  penting waktu yang kita pilih untuk kita beri nasihat. Kalau tak kena  waktunya, nasihat kita akan dianggap sebagai satu leteren atau bebelan,"  kata beliau dalam wawancara dengan Bernama di pejabatnya di Wisma Belia  di sini baru-baru ini.
TEGUR DULU
Ada ibu bapa yang cepat naik angin apabila  anak-anak melakukan kesilapan dan sekiranya ibu bapa turut mahu  menasihati anak mereka ketika itu, anak akan mengambil sikap dingin dan  tidak akan mendengar cakap mereka.
Seperti yang ditegaskan Dr Asmadi, tegur dan nasihat tidak boleh  dilakukan serentak.
Bila menegur, fokus sahaja kepada apa yang  ditegur. Jangan mencampur-adukkan dengan nasihat kerana ketika anak  ditegur, dia berada dalam keadaan dipersalahkan.
Anak yang ditegur juga sudah berada dalam keadaan yang negatif. Masa  itu juga dia sudah menutup dirinya dan seolah-olah ada tabir antara dia  dan ibu atau ayah yang menegur.
Menurut Dr Asmadi, anak juga  tidak berada dalam apa yang dipanggil 'receptive mood'.
"Banyak mana pun kita cakap dia tak akan dengar. Makanya sering kita  dengar ibu bapa mengeluh anak-anak tak mahu dengar cakap. Bukan tak  hendak tapi dia tak ada mood nak mendengar.
"Jadi bila kita  menegur anak, tegur sahaja kesalahan dia. Katakan kesalahan itu yang  pertama, mungkin kita boleh kata emak atau ayah dulu pun macam itu, ini  biasa dalam proses pembesaran.
"Cukup dengan itu, tak perlu tambah dengan nasihat. Anak-anak akan  menganggap cakap kita sebagai satu bebelan, hanya memenatkan kita,"  jelas beliau.
PILIH WAKTU SESUAI
Pilih waktu yang  sesuai untuk menasihati anak. Ini nasihat seterusnya daripada Dr Asmadi  kepada ibu bapa yang sering menghadapi masalah dengan anak-anak.
"Bila keadaan sudah tenang, mungkin masa kita minum-minum atau dalam  kereta dengan anak, kita nasihat dia masa itu.
"Anak akan lebih  bersedia sebab tabir yang ada masa dia ditegur dah tak ada dan dia bukan  lagi berada dalam keadaan dipersalahkan.
"Katakan kita tegur dia tentang kawan-kawan dia. Beritahu dia kalau  boleh cari kawan-kawan yang macam ini. Abah dulu pun cari kawan-kawan  yang macam itu. Kita bercakap dengan cara mahu mendidik dia, dia akan  terima," kata perunding motivasi ini lagi.
Nasihat juga perlu dimulakan dengan kemesraan.
Menurut Dr  Asmadi, ibu bapa boleh mengingatkan perkara terbaik yang anak pernah  buat semasa dia kecil untuk merangsang anak terus melakukan perkara yang  sama.
"Anak mungkin tak ingat pun waktu kecil dia tapi sengaja kita kaitkan  untuk dia merasa dia seorang yang bagus dan sebagainya.
"Jadi  kita mulakan dengan kemesraan. Kita mulakan dengan sesuatu yang positif,  barulah anak akan membuka diri dia. Ini amat perlu kalau kita mahu anak  mendengar nasihat kita," tambahnya.
PERLU SABAR
Ibu bapa juga perlu sabar dalam menasihati  anak dan pada kebanyakan masa, nasihat perlu diulang secara positif  beberapa kali sebelum anak menerima sepenuhnya.
Dalam proses  pembentukan watak, anak-anak juga perlu diberi suatu tempoh tertentu  untuk berubah.
Dr Asmadi memberi contoh menasihati anak untuk menunaikan ibadat  solat.
Ada ibu, katanya terus memarahi anak apabila lambat solat.  Si ibu akan mengherdik dengan kata-kata "Pukul berapa sekarang? Dah nak  masuk asar, zohor pun tak sembahyang lagi. Nak kena cakap baru nak  buat!"
Menurut beliau, cara yang demikian adalah negatif dan mungkin hanya  dapat memuaskan hati ibu tetapi tidak membantu anak.
"Keibubapaan  positif menggunakan pendekatan berikut. Kita tanya dia dengan baik  sudah solat ke belum. Beritahu dia yang waktu sudah lewat dan  peringatkan dia ketika dia dalam umur 10, 11 tahun tak apa tapi bila dah  akil baligh, masuk usia 13 tahun, dia tak boleh lagi lewat solat.  Kemudian suruh dia ambil air sembahyang dan solat.
"Tak ada kata nak pukul dia, tak mengungkit kesalahan silam dia.  Kita tak kata dia malas. Setiap kali anak kita lewat solat, kita ulang  dan beri masa dia untuk berubah. kita ada dua tahun untuk membentuk  watak menjadi orang yang rajin solat.
"Dengan cara mengulangi nasihat, kita sebenarnya menanam nasihat  dalam minda bawah sedar dia. Sebenarnya banyak tindakan manusia dibuat  dalam minda separuh sedar dan spontan. Bila sampai umur 13 tahun kita  hadiahkan sejadah baru umpamanya, dan katakan umur dia sudah 13 tahun  dan tak boleh lagi lengahkan solat. Tengoklah nanti perubahannya.  Pendidikan memerlukan kesabaran," jelas Dr Asmadi.
TUNJUK TELADAN
"Bapa borek anak rintik" atau "Seperti  ketam mengajar anaknya berjalan betul"! Antara faktor yang mungkin  menyebabkan anak tidak mendengar cakap ibu bapa kerana sikap ibu bapa  sendiri.
"Emak bapak tak buat tapi suruh anak buat. Sebagai contoh, emak  bapak cakap tentang sembahyang bila azan tapi mereka sendiri tak buat.
"Lapan  puluh peratus pendidikan ialah melalui teladan, 20 peratus melalui  kata-kata. Anak-anak lebih percaya apa yang dia nampak daripada apa yang  kita cakap atau suruh," kata Dr Asmadi.
Dalam masa yang sama, katanya, ibu bapa juga perlu memastikan anak  tahu apa yang dilakukan adalah kerana sayang dan untuk kebaikannya bukan  kerana semata-mata mahu memarahinya.
Lengkapkan diri dengan  kemahiran keibubapaan untuk menangani karenah anak-anak. Ini nasihat Dr  Asmadi kepada ibu bapa.
Ibu bapa, katanya perlu belajar kerana ada sesetengah ibu bapa tidak  bersedia untuk menjadi ibu bapa semasa berkahwin. Mereka pun mungkin  tidak mendapat asuhan yang sebenarnya untuk menjadi ibu bapa.
"Ada  juga kalanya perkara yang kita buat tak salah tetapi kita tidak ulang  kerana kita tak sedar pun apa yang kita buat itu betul. Bila ikuti  program keibubapaan ini banyak yang kita boleh belajar.
"Melabur sedikit untuk kebaikan kita. Jangan segan bertanya dan  banyakkan membaca. Ibu bapa perlu ambil inisiatif untuk mendapatkan  kemahiran ini. Jangan ambil mudah dan ingat kita ibu bapa, kita dan tahu  semua perkara," kata Dr Asmadi.
Menurut beliau, ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai sepatutnya  belajar daripada pengalaman mendidik anak.
"Masalahnya kita tak  belajar, masih ulang kesilapan kerana tiada pembaikan dalam ilmu  keibubapaan," tambahnya.
Soal "lebih dulu makan garam" juga kata Dr Asmadi tidak lagi boleh  digunakan oleh ibu bapa dalam menegur anak.
Ini, katanya kerana  orang yang mahu mendakwa "lebih dulu makan garam" perlu lebih  berpengalaman.
"Pengalaman datang daripada pertama, ramainya orang yang kita temui  dan kedua, ilmu yang kita dapat dan ilmu diperoleh daripada pembacaan  atau menghadiri program ilmiah atau sebagainya.
"Anak-anak hari  ini ada yang lebih banyak membaca daripada ibu bapa dan lebih ramai  kawan termasuk interaksi menerusi alam siber. Mereka juga boleh mendakwa  lebih banyak makan garam daripada kita," katanya.
JADI ACUAN
Ada sesetengah ibu bapa yang mengambil  sikap lepas tangan dan mengharapkan guru untuk mendidik dan membentuk  anak mereka apabila berdepan dengan masalah anak yang tidak mahu  mendengar kata.
Menurut Dr Asmadi, ibu bapa sebenarnya ialah orang yang membentuk  acuan jati diri anak, bukan guru!
Justeru, kata beliau, jika ibu  bapa melepaskan kepada guru untuk membentuk anak mereka, ia tidak akan  berlaku.
"Itu sebabnya kita kata tabiat, akhlak, perilaku, pekerti, susila,  semuanya ini lahir dari rumah kerana acuan emak bapak itu.
"Ibu  bapa kena perbaiki diri, mula solat berjemaah, makan bersama, luangkan  lebih masa untuk anak-anak, nasihat dengan cara yang betul dan waktu  yang sesuai, ubah cara menegur anak.
"Kesannya tak mungkin nampak dalam masa yang singkat. Ia akan  berlaku dalam jangka masa panjang. Acuan itu akan terbentuk  perlahan-lahan," kata Dr Asmadi.

0 comments: