"Hadiah Hari Jadi"
9:38 PM | Author: Jariah Agro Farm

Assalamualaikum wbt.

Bismillah,

Rasanya memang sudah lama tidak menulis, bukan sebab apa, saya agak sibuk dengan kerja-kerja untuk menyambung ‘master’. Perbincangan dengan ‘penyelia’ memang agak menggetirkan kerana pilihan ‘tajuk’ itu agak sukar. Satu sebab lain adalah kerana saya tidak mempunyai isu2 yang menarik untuk dikongsi bersama dengan para pembaca sekalian..maklumlah,saya ni bukan penulis sepenuh masa mcm saifulislam, zaharudin, etc. Menulis bagi saya sekadar mengisi masa lapang kerana menulis itu menajamkan fikiran, dan jika ada perkara yang boleh dimanfaatkan bersama, maka ter update lah blog ini. Saya tidak minat untuk menulis hanya menceritakan sesuatu yang sia-sia tanpa ada perkara yang boleh dimanfaatkan dengan para pembaca. Ini matlamat blog ini dibuat, adalah untuk menjadi satu madah perkongsian ilmu dan pengalaman hidup demi memperbaiki diri.

Dan pada hari ini, saat blog ini di update sudah pun 22 september 2009 jam 4.30pagi. Ini bermakna, umur saya dah menjangkau 24tahun pada semalamnya bersamaan eidulfitri ke-2. Hari ini saya dapat bernafas dengan cinta dan kasih sayang Tuhan. Tidak seperti 2 tahun lepas berturut-turut, hari ulangtahun saya disambut dengan kemeriahan dan keberkatan Ramadhan. Ianya sangat bermakna kerana kemuliaan Ramadhan itulah yang membuatkan saya terasa bersyukur dengan setiap umur yang Allah beri. Semoga umurku dipenuhi dengan barakah sepertimana Kau turunkan keberkatan pada bulan Ramadhan. Namun, tahun ini juga tidak terlepas dari kemuliaan Syawal.


My Complete Family


Syawal, yang mana tarikh ulangtahun saya tepat pada 2 Syawal juga membuatkan seperti ada semangat yang hadir dalam jiwa. Takbir tahun ini lebih bersemangat mungkin tanda kemenangan di Ramadhan. Bagi saya, semangat itu hadir bukan sahaja kerana kemenangan di bulan Ramadhan, tetapi juga kemenangan kerana umur dipanjangkan sehingga ke akhir Ramadhan. Dan syawal disambut dengan umur yang berkat,ameen. Walaupun tiada ucapan istimewa, sambutan yang meriah, majlis makan yang sedap, hadiah – hadiah, tetapi cukuplah ucapan dari sebahagian sahabat yang ukhwah diikat dengan tali Allah, ‘sambutan’ menziarahi sanak saudara yang merupakan sunnah, majlis makan juadah hari raya dan yang paling penting sekali ialah ‘hadiah ‘ ikhlas dari Allah.

‘Hadiah’ yang bermakna untuk tahun ini, yang mana hadiah ini tidak siapa pun yang mampu memberinya kepada saya kerana harganya terlalu mahal! Dan ianya tidak boleh dibeli. Di sini, saya mahu berkongsi dengan para pembaca sekalian tentang ‘hadiah’ yang Allah beri pada saya.

Pagi lagi saya dikejutkan oleh satu panggilan emergency dari ladang oleh pekerja saya. Saya sememangnya bersedia untuk on call sekiranya ada apa-apa terjadi pada ternakan saya. Saya terus bergegas ke ladang seusai sarapan bersama keluarga. Saya dipahamkan ada seekor kambing dying, dalam menunggu masa untuk dicabut nyawa akibat dehydration dan 3 kemungkinan sebab lain. Malangnya, oleh kerana terlalu lewat, seekor induk bunting itupun telah mati selepas saya sampai. Selesai proses post-mortem, saya dapati ada beberapa langkah perubahan yang perlu saya jalankan di ladang. Tengah hari itu, saya berfikir, hikmah usia yang Allah berikan.


Penyebab #1

Penyebab #2

Penyebab #3

Janin kambing boer (2bulan dalam kandungan)


Dengan rahmat Allah, pada 21 september ini lah, Allah telah memberi umur kepada saya,tetapi tidak kepada ternakan saya. Dalam diam, saya bersyukur dengan nikmat usia. Ianya satu ‘hadiah’ ujian dari Nya untuk menjadikan perusahaan saya ini maju dan terbaik dari segi pengurusan. Disebabkan kematian ini, saya kerugian kira-kira RM1000 dan setelah melihat hikmahnya, pengalaman ini juga tidak dapat dibeli dengan nilai itu kecuali setelah kita melalui proses tersebut.

Tidak cukup dengan itu, saya sekali lagi diuji dengan ‘hadiah’ dari Allah. Tetapi kisah ini akan saya kongsikan pada semua pada entry yang akan datang jika diizinNya.

Wasalam….

Miskin yang bertaqwa
6:51 AM | Author: Jariah Agro Farm
Bismillah..
Assalamualaikum wbt..

Setiap hari ngadap laptop utk menyelesaikan kerja2 tertangguh, sambil2 tu sy bukak window media player saya, at least xla boring sgt buat keje...bl dgr lagu2. Playlistnya tiada lain melainkan lagu2 membangun jiwa, lagu nasyid dan selawat. Yang membuatkan saya teringat pada seorang shbt sy ni apabila lagu sunnah berjuang dari kumpulan mne ntah, lagu lama, tp kesannya mmg mendalam kalau diamati bait-bait kalam dlm lirik nya.

"sudah sunnah org berjuang, mengembara dan berkelana, miskin dan papa jadi tradisi......."

pastu ada juga dlm lirik nya "org lain membuat harta, dia pula membuangnya....."

kenapa pula org berjuang dlm Islam miskin?xberharta? jauh dari pandangan Tuhan ke? nikmat kekayaan diabaikan oleh Tuhanmu...knp org kafir, org fasik terus kaya dan kaya?terus membuat harta sedangkan pejuang terus miskin dan sekadar cukup mkn?apa yang direncanakan oleh Allah tu mti ada hikmah dan sebabnya disebalik. Bertanya kembali kepada diri sndiri. Nak banglo mewah di dunia atau di akhirat ? Nabi Muhammad saw hidup dalam kemiskinan tapi aman bahagia. Jiran-jiran Nabi di dalam syurga nanti ramai dari kalangan orang miskin yang bertaqwa.

Orang miskin bertaqwa tak banyak di tanya mengenai harta yang dibelanjakan di akhirat nanti. Tapi orang kaya yang bertaqwa pun akan ditanya akan setiap harta yang dibelanjakan. Takut nanti di tanya kenapa kenapa buat masjid mewah tapi ramai orang sekitar masjid yang tidak cukup makanan ?

Bukannya tak boleh jadi kaya , tapi jadikanlah kekayaan kita itu untuk membina banglo di akhirat dengan banyak sedekah , banyak buat masjid , banyak buat bangunan atau pejabat untuk pertubuhan Islam.

Marilah kita bersama orang-orang miskin yang bertaqwa di dunia dan di akhirat.

Kalau umat Islam dan orang Melayu nak maju , kalau tak nak lihat Melayu jadi juara rempit , juara lepak , juara rokok , juara judi , juara arak, orang macam kita nilah kena banyak berkorban harta dan tenaga , banyakkan terlibat dalam aktiviti kesukarelaan dan NGO. Jangan serahkan semata-mata pada Majlis Agama Islam , Imam , Bilal , Wakil Rakyat dan Menteri.

Berikut petikan dari Khutbah Jumaat Majlis Ugama Islam Singapura

PENGHUNI SYURGA DAN PENGHUNI NERAKA

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w telah bersabda maksudnya:
"Aku telah meninjau syurga dan aku dapati kebanyakan penghuninya ialah kaum miskin, ………" Diriwayatkan oleh al-Bukhari.

Rasulullah s.a.w telah diperlihatkan oleh Allah gambaran syurga dan neraka, dan baginda dapati bahawa penghuni syurga yang paling ramai adalah terdiri dari golongan orang-orang miskin yang tidak berharta.

Bertolak dari pengertian ini ternyata bahawa yang dimaksudkan dengan "orang-orang miskin " yang disebut oleh Rasulullah s.a.w itu ialah orang-orang miskin yang soleh dan bertaqwa, bukanlah semata-mata orang miskin, kerana kemiskinan sahaja merupakan satu bala yang boleh membawa seseorang kepada kekufuran, apabila tekanan kemiskinan itu tidak dapat disabari.

Kelebihan orang-orang miskin ( yang banyak masuk syurga ) itu bukanlah kerana kemiskinan, malah kerana kesabaran, taqwa dan amalan-amalan mereka yang soleh yang biasanya menyebabkan mereka menjadi miskin.

Mudah-mudahan kita digolongkan dikalangan orang-orang yang suka membelanjakan hartanya di jalan Allah.

Rebutlah peluang ini, kerana setiap sedekah yang ikhlas akan digandakan oleh Allah sehingga 700 kali ganda.
Sultan Muhammad AlFateh
10:06 AM | Author: Jariah Agro Farm
Sultan Muhammad Al Fateh

Strategi semasa baginda dan tentera menolak kapal laut naik ke gunung

Makam Sultan Muhammad Al Fateh


Bismillah..
Assalamualaikum wbt.


Baru-baru ini saya ada menghadiri sessi usrah di bandar tasik selatan anjuran alumni IPUKL, tajuk yang membuatkan saya terpanggil untuk mengkaji lebih lanjut tentang kisah ini, iaitu empayar uthmaniyyah. Saya berasa teruja untuk mencari maklumat-maklumat tentang kisah ini kerana kisah ini lah yang membawa titik perubahan dunia Islam. Dari mula penjajahan hingga la zaman kejatuhan empayar uthmaniyyah ini wajar untuk kita contohi. Mungkin selepas ini zaman ini akan berulang dan sebab itu lah pentingnya kita mempelajari sirah.


SULTAN MUHAMMAD AL FATIH

Sabda Rasulullah saw ketika menggali Parit Khandaq; "..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……"

Hadis riwayat Imam Ahmad

Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Usmaniyah.

Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab,

"Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople". Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.

Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Usmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya. Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut "sebaik-baik raja" dan "sebaik-baik tentera" di dalam Hadis tersebut.


PENGENALAN

Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki - Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai "sebaik-baik raja" di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih dan Muhammad The Conqueror kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.


PENDIDIKAN

Baginda menerima pendidikan secara menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagaman, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra.

Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew.

Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah matang di dalam menangani tipu helah musuh.


KEPERIBADIAN

Baginda sentiasa bersifat tawadhu' dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja

Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.


PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE

Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.

Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu.

Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh nindanya iaitu Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus.


Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.

Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.


MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE

Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.


Menara Bergerak

Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.


Bantuan Dari Pope Vatican

Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Usmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.


Melancarkan Kapal Perang Dari Puncak Gunung

Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda menarik kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri.



Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota. Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Usmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.


Memanjat dan Melastik Dinding Kota

Keesokan paginya tentera Usmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.


Karisma Seorang Pemimpin

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya,

"Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!".

Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.


Penawanan Constantinople

Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan)

Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran "Al Fatih" iaitu yang menang.


SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!". Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!". Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!". Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.



Rahmat dari Tuhan
2:14 AM | Author: Jariah Agro Farm


Tengah hari itu tidak seperti kebiasaanya, kalau semalam teriknya membakar kulit, membakar apa sahaja yang terdedah, juga membakar semangat para petani untuk terus meyirami tanaman. Malah ianya juga membakar tanah-tanah gambut yang menyebabkan kawasan ini penuh dengan pencemaran jerebu. Tetapi hari ini lain, cahaya surianya pada pagi hari seolah-olah memberi sesuatu makna buat para petani dan peternak. Teriknya bukan seperti semalam. Cahayanya muncul redup hingga ke tengahhari. Cahayanya lahir tenang mengintai disebalik dedaun getah, sekaligus mendamaikan suasana kampung. Aman sekali. Burung-burung menyanyi riang seolah-olah berzikir pada Penciptanya. Angin berdesir lembut menerpa ke muka ku mengingatkan ada Pencipta yang Maha Agung. Awan berlari-lari anak menunjukkan cuaca sangat baik pada hari ini. Sekaligus awan pun berzikir. Angin berzikir. Haiwan-haiwan berzikir. Tumbuhan berzikir mengagungkan Tuhannya.

Rupanya, dengan kedamaian pagi itu, dengan zikir-zikir makhlukNya, Allah turunkan Rahmat. Allah turunkan hujan membasahi bumi ini. Rahmat untuk makhluk yang mengingatiNya tidak kira masa. Hujan pun berzikir menurunkan airnya ke bumi. Aku yang berada di kandang turut berzikir dan memujiNya, kerana setelah sekian masanya, hujan tidak turun. Mengeringkan tanah, mengeringkan tanaman, mengeringkan air perigi di ladang ku. Bukan kepalang makhluk-makhlukNya keriangan menyambut rahmatNya itu. Pokok napier yang baru ku tanam seolah-olah menari keriangan mendapatkan air. Melambai-lambai ditiup angin. Begitu juga dengan ternakanku. Alangkah meriahnya ladangku apabila rahmatNya disambut oleh ternakanku. Anak-anak kambing melompat ke sana ke mari. Hujan nya turun tidak lama. Hanya satu jam cuma. Tetapi cukup untuk membasahi tanah dan mnyuburkan tanaman.

Rahmat ini juga menyedarkan makhlukNya supaya terus mengingatiNya. Samada manusia, haiwan mahupun tumbuhan mempunyai tanggungjawab sebagai hamba. Malahan pula, manusia yang dilantik menjadi Khalifah mempunyai tugas yang lebih berat. Iaitu, tegakkan Islam Amar Ma'ruf Nahi Mungkar. Adakah kita Khalifah yang dilantik Allah sudah selesai tanggungjawab ini?Mahukah kita ditanya kelak mengenai tanggungjawab ini?Apakah persediaan kita untuk memikul tanggungjawab ini?

Rahmat ini juga mungkin menyambut kemeriahan sahabat ku dlm mendirikan masjid pada hari ini. Selamat pengantin baru kepada Sharifah mariam dan Mohd shahrin. Barakallahu laka wa baaraka alaikuma wa jama'a bainakuma fil khair!...satu persatu sahabat kita menunaikan sunnah teragung ni, samada melalui unit baitul muslim ataupun tidak. Rahmat pernikahan yang sukar diperolehi bagi seseorang yang tidak mengerti hikmah pernikahan. Lafaz 'qabiltu nikahaha wa tazwijaha bi mahril mazkur haalan' bagi ku sangat berat buat masa ini. Kekeringan jiwa yang masih belum sedia untuk menyemai benih cinta sekering tanah gersang sebelum dibasahi hujan rahmat. Atau juga kekeringan duit poket untuk melaksanakan walimah nnt atau kehidupan akan datang. Bila ada sahabat yang bertanya, bilakah masanya aku akan mengikuti sunnah ini, jiwaku terdiam dengan jiwa yang bergetar. Lantas ku bertasbih untuk menghilangkan getaran. Jiwaku ku pasrahkan sepenuhnya kepada Allah. Semoga rahmatMu mengiringiku untuk pertemukanku dengan yang terbaik. Rahmat yang tiada taranya.
Secicip Rezeki
10:59 AM | Author: Jariah Agro Farm


12.36malam. Saya baru balik dari berjumpa dengan pembekal kain untuk memenuhi tempahan membuat uniform sukan PASTI. Waktu ini bagi saya awal sekiranya mahu dibandingkan saat saya di UKM dahulu. Pernah dahulu saya pulang ke kolej pukul 3pagi kerana memantau progress pembikinan tshirt. Bagi saya, biarlah hasil yang pelanggan mahu tepat dan memuaskan hati. Saya berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk pelanggan-pelanggan saya. Pernah juga dahulu saya terpaksa tidur di dalam kereta kerana pintu kolej sudah ditutup. Biasanya kalau pak guard yang rapat dengan saya dan boleh kautim dengan saya, dia akan izinkan saya masuk. Malangnya, masa itu pak guard yang xboleh kautim yang bertugas (kami gelarkan dia sebagai pak guard teksi). Pernah juga saya tidak tidur semalaman kerana bisnes saya ini. Kerana apa? Demi sesuap nasi dan secebis rezeki. Saya perlu untuk mencarinya untuk membolehkan saya terus berdikari tanpa bantuan kewangan dari keluarga.

progression baju custom

Dalam pada rakan-rakan lain leka dibuai mimpi, leka dengan game ‘football manager’ atau ‘euro’nya, leka dengan menonton movie-movie yang baru di ‘download’, saya mencekang mata demi mencari rezeki. Walaupun dalam pengajian, saya tetap menyambil untuk berbisnes kerana keperluan dan minat. Pengajian saya di UKM tidak pernah sekali saya abaikan, dan Alhamdulillah prestasi akademik saya lebih baik daripada rakan-rakan lain. Ada juga yang lebih tinggi dari saya dan berjaya menjawat jawatan tutor di UKM sekarang. Tetapi bezanya, mungkin mereka mempunyai lebih masa untuk belajar dan mengulangkaji pelajaran manakala saya pula, dengan waktu yang terhad, saya membahagikan masa antara bisnes dan pelajaran. Bila bisnes, fokus saya pada bisnes dan bila ulangkaji fokus saya pada pelajaran. Pujian bagi Allah, saya berjaya mendapat Anugerah Dekan separuh daripada jumlah semester pengajian saya. Walaupun begitu, ini juga menjadi tohmahan dan menjadi bahan perli kerana saya sehingga sekarang masih lagi tidak bekerja dan tiada gaji tetap. Saya hanya tersenyum.


meja study masa belajar dlu

Menceritakan usaha saya dalam bisnes ini banyak sangat dugaan yang perlu ditempuh. Tiada jalan mudah. Sekonyong-konyong saya membawa bungkusan tshirt untuk dihantar ke pelanggan hanya dengan menaiki motor. Bungkusan yang diletakkan di bahagian bakul motor itu sungguh menyesakkan pemanduan sekiranya pemandu tidak mahir. Cuba anda bayangkan, bungkusan yang berisi kira-kira 80-100 helai baju itu parasnya setinggi dagu saya dan saya terpaksa untuk memeluk bungkusan itu sambil mengawal handle motor. Biasanya, sekiranya saya penat memandu, bungkusan itu akan menjadi tempat mendagu sambil membawa motor! Dan dengan bungkusan yang menyesakkan itu ditambah lagi dengan kesesakan lalulintas di KL. Saya terpaksa mencilok untuk teruskan perjalanan. Pengawalan handle pasti akan terlalu sukar dengan hadirnya bungkusan tersebut. Ditambah pula dengan hujan yang lebat pada masa itu…ahhhh….sungguh mencabar..berhujan berpanas sudah menjadi lumrah dan kebiasaan bagi saya dalam bisnes baju ini..hati kecil saya berkata, susahnya mencari secicip rezeki. Mungkin ini keadaannya yang terjadi pada mak ayah untuk membesarkan 8orang anaknya. Sungguh ku menghargai pengorbananmu ayah dan ibu…


Dengan berbisnes semasa pengajian inilah saya dapat menyimpan wang biasiswa daripada digunakan. Mungkin hanya untuk membayar yuran kuliah sahaja. Selebihnya saya simpan. Tidak hairanlah saya mampu untuk membantu abang saya semasa walimahnya dan simpanan saya masih lagi lima angka. Tidak terjejas sama sekali. Bukannya senang itu mencapai tahap itu. Simpanan itu menjadi ‘tiket’ untuk meyakinkan ayah dan ibu saya untuk saya melangkah ke alam keluarga nanti. Dengan wang itu juga saya melabur di dalam bisnes baru sekarang ini. Juga kerana minat dan sunnah. Perjalanan perniagaan saya tidak berhenti setakat ini, tetapi akan datang saya akan menceburkan diri dalam bidang hartanah (mungkin?) dengan bermodalkan pusingan wang keuntungan bidang peternakan ini. Penat jerih, madu dan tuba, manis dan pahit wajib dilalui setiap bisnes. Membina dari pengalaman dan perbaikinya. Ahhh….seronoknya berniaga..


Biarlah tiada tali leher skalipun, biarlah tiada kolar putih yang menghiasi leherku, biarlah tiada kasut hitam berkilat di sarungkan ke kakiku, biarlah tiada seluar hitam bergosok rapi, biarlah tiada kereta mahal bergaya, biarlah tiada jawatan tinggi melangit…namun aku tetap begini..mana tanding seluar lusuhku dengan seluar mereka berjenama ‘D’urban’, mana tanding baju kerjaku yang buruk dengan baju mereka berjenama ‘charlie’, mana tanding but kuningku dengan kasut mereka berjenama ‘crocodile’, mana tanding motor hitam buruk ku dengan kereta MyVi mereka, mana tanding jawatanku di ladang dengan jawatan PROFESIONAL mereka! mana tanding! Mana tanding! Tidak tertanding…! Aku hanya peniaga…peniaga..peternak..mana tanding……..kau dengan keprofesionalmu…aku dengan ketidakprofesionalku..kau pegawai, aku pencacai..kau engineer, aku apa yang ada…kau doktor, aku kerja kotor… kau pensyarah, kerjaku susah…mana tanding dengan mu..

Tapi, jalan rezeki 90% pada berniaga..sabda Junjungan yang mereka lupa..terus lupa….dan terus lupa